|
|
 |
Tajuk Utama: Lebah hajat rempuh Kijang
FOOTBALL FORECAST BERSAMA DIE HARD FAN
KELANTAN vs JOHOR FC
8.45 MALAM STADIUM
SULTAN MOHAMAD KE IV
REKOD PERTEMBUNGAN 2009
JOHOR FC................2
KELANTAN................0
KELANTAN................1
JOHOR FC................2
Setelah rekod tanpa kalah lebur di tangan Kuala Lumpur, Johor FC akan turun kembali ke gelanggang sabtu ini. Kali ini skuad Lebah akan mengharungi perjalanan ke pantai timur sambil menghirup udara laut China Selatan untuk pertembung dengan pasukan Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim. Kedua-dua pasukan telah mengalami kekalahan pertama dan lebih menarik, kedua-duanya di gelanggang sendiri. Kedua pasukan yang mengeluarkan peruntukan yang besar bagi menghadapi musim ini dengan membawa masuk pemain baru dilihat masih lagi beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar dan masih terkial-kial untuk membentuk keserasian. Namun dengan jadual perlawanan yang padat dan kepenatan kian mencengkam, kedua pasukan terpaksa mencari ramuan agar muncul pemenang sabtu ini apatahlagi selangor kian gah mendahului carta liga dengan jurang mata yang agak besar
2 watak penting yang menjadi individu yang paling sibuk menjelang perlawanan sabtu ini pastinya Ramlan Rashid dan B Sathianathan. Mereka berdua menyedari sebarang kekalahan yang bakal diterima pasukan akan sekadar menambahkan lagi tekanan dan menggelapkan masa depan mereka bersama pasukan. Ramlan Rashid yang mengikat kontrak hanya selama 3 bulan pastinya tidak mahu namanya disingkirkan pengurusan setelah tempoh tersebut berakhir. Begitu juga dengan Sathianathan yang memikul harapan menggunung peminat Kelantan dalam usaha mengakhiri kemarau gelaran sejak sekian lama.
Kelantan diakui sebagai sebuah negeri yang banyak melahirkan bakat pemain-pemain yang berkualiti. Ironinya ramai juga pemain kelahiran negeri ini menabur bakti dengan pasukan luar dan meraih kejayaan dengan pasukan yang diwakili. Lebih memedihkan, Kelantan tewas kepada Kedah gara-gara sentuhan Azlan Ismail juga anak kelahiran Kelantan. Namun agak sukar difahami, sehingga hari ini Kelantan masih gagal meraih sebarang gelaran meskipun berpeluang bergelar juara apabila layak ke final piala malaysia 1970 dan 2009. Pencapaian lain termasuklah layak ke separuh akhir Piala Malaysia 1993 yang mana ketika itu dibarisi Dimitre Kalkanov, Zahasmi Ismail, Salim Mahmud, Marko Kraljevic dan Tuan Kamree Tuan Yahya. Satu ketika Kelantan pernah terjerumus ke kancah Liga FAM sebelum pengurusan diambilalih oleh Tan Sri Anuar Musa yang membawa gelombang perubahan dengan membawa masuk dana dan tajaan koperat dalam usaha membawa Kelantan menjadi skuad yang disegani dalam kancah Liga Super.
Stadium Sultan Mohamad Ke IV sabtu ini dijangka bergelora dengan kehadiran ribuan penyokong fanatik Kelantan. Hakikat yang perlu diakui, bukan mudah sebenarnya tugas anak buah Ramlan minggu ini meskipun telah menawan Stadium Kangar serta Darul Aman. Situasinya pasti berbeza. Berdasarkan apa yang telah berlaku dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur, sekali lagi rekod pertembungan tidak boleh lagi menjadi ukuran meskipun Johor FC berjaya menewaskan Kelantan dalam kedua-dua pertembungan Liga Super musim lepas. Skuad Kelantan tahun ini dibarisi dengan wajah yang berbeza berbanding musim lalu. Satu perkara yang harus diingat, mereka kini ibarat harimau yang terluka dan sedang mencari mangsa bagi mengubati luka tersebut dan boleh dikatakan kunjungan Johor FC kali ini tidak tepat pada masanya. Ini merupakan kunjungan pertama Johor FC ke Kota Bharu selepas aksi tahun lalu dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas KAFA dihukum gara-gara sikap ganas penyokongnya.
Pertemuan Johor FC dan Kelantan dilihat bakal mempamer aksi seimbang. Kedua pasukan memiliki kelemahan yang sama iaitu ketumpulan di bahagian penyudah. Bahagian benteng pulu dilihat cukup cemelang dengan Kelantan setakat ini hanya melepaskan satu gol dan Johor FC dua.
Kelantan bakal turun dengan barisan terkuat terutama di bahagian hadapan. Trio serangkai di bahagian depan pasti diturunkan dengan Akhmal Rizal dan Hairudin Omar bakal bergandingan sambil dibantu Indra Putra Mahyuddin. Badri Radzi dijangka turut beraksi sabtu ini dengan mengisi tempat satu slot di bahagian tengah. Daudsu Jamaluddin serta Norfarhan Mohamad dijangka menjadi pilihan Sathiananthan bagi menggerakkan sayap pasukan. Johor FC perlu mencatur strategi bagi merobek benteng Kelantan yang bakal diketuai Azlan Zainal dan Azizi Rose. Kesilapan budak sekolah yang dilakukan Syed Adney bakal mendatangkan kesan terhadap pemilihan di posisi penjaga gol dan berkemungkinan besar Sharizan Ismail di beri tanggungjawab tersebut.
Bagi pasukan Johor FC, Sairozy Daud dan Nurul Azwan Roya seharusnya melupakan sebentar semangat kenegerian sabtu ini. Sesiapa sahaja yang bakal diturunkan perlu sedar tanggungjawab mereka sepanjang aksi 90 minit . Seharusnya sorakan gamat penyokong Kelantan tidak patut dijadikan alasan pasukan Johor FC bakal beraksi hambar. Pemain perlu fokus terhadap misi kunjungan ke Kota Bharu kali ini. G jeevanathan dijangka merampas kembali posisinya daripada Anis Faron. Mat Saiful Mohamad dan M Sivakumar ditagih agar cemerlang di bahagaian benteng sambil diapit oleh Sumardi Hajalan dan Ridwan Maon. Bahagian benteng perlu mengelakkan daripada menghadiahkan sepakan percuma pada jarak 25 hingga 30 meter memandangkan pasukan Kelantan akan mengharapkan Indra Putra dan Badri Radzi mengambil kesempatan pada situasi tersebut. Wan Rohaimi yang kempunan beraksi dalam 2 perlawanan sebelum ini bakal bergandingan dengan Khairul Ismail di bahagian tengah. Azwan Roya dan Zulhisyam Jamaluddin tampak bersedia diturunkan bagi memecah benteng Kelantan dari bahagian tepi. Eddy Helmi dan Sairozy seperti biasa akan menggalas beban mencari gol
Penyokong kedua pasukan dirasakan sudah tidak sabar menjelang aksi sepak mula sabtu ini. Jika Johor FC menang, ia akan mengukuhkan cabaran dan mengekori Selangor. perlawanan ini bakal menyajikan aksi yang sengit dengan 3 mata menjadi pertaruhan
RAMALAN
KELANTAN.........1
JOHOR FC.........1 |